Advertisement

Tahanan Lari Berjaya Ditangkap Semula, JIM Sabah Rakam Penghargaan Kepada Orang Awam

KOTA KINABALU: Kecekapan maklumat awam dan tindakan pantas seorang individu prihatin telah membawa kepada kejayaan penahanan semula seorang tahanan yang sebelum ini melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri (JIM) Sabah, tahanan terbabit telah berjaya dikesan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

“Setinggi-tinggi penghargaan Kepada orang awam yang bertindak berani dan penuh tanggungjawab.

“Tindakan ini mencerminkan semangat patriotik yang kental dan komitmen dalam mengekang ancaman terhadap keselamatan awam,” katanya.

Tambahnya, s ebarang maklumat berkaitan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) boleh disalurkan melalui Sistem Pertanyaan Online (eAPP), Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat Imigresen yang berdekatan.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus memperkukuh keupayaan pengawasan, mempertingkat kawalan depot serta memperhebat kerjasama bersama agensi penguatkuasa dan masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Terdahulu, seorang daripada dua lelaki melarikan diri dari Depot Imigresen Kota Kinabalu pada 14 Jun lalu.

Suspek, Elvin Salim, 28, dipercayai cedera ketika memanjat pagar tinggi untuk terjun ke bahagian luar depot.

Seorang lagi suspek, Lan Dais, 30, berjaya ditahan semula sehari selepas kejadian di kawasan hutan bukit berhampiran Telipok.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata struktur lama bangunan depot telah memberi peluang kepada tahanan melarikan diri.