Advertisement

Bot Vietnam Ceroboh Perairan Sabah, Rampasan Hampir Dua Juta Ringgit

KUDAT: Sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama enam kru lelaki warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat di perairan 13 batu nautika timur laut Pulau Tigabu, Pitas, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata penahanan itu dilakukan hasil maklumat awam yang segera disalurkan kepada pihaknya.

“Sejurus menerima maklumat berkenaan, bot ronda Cenderawasih 10 yang sedang membuat rondaan terus digerakkan ke lokasi untuk pemantauan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Jelasnya, bot suspek dikesan pada jam 5.50 pagi dan cuba melarikan diri sebelum berjaya dipintas oleh anggota operasi.

“Pemeriksaan mendapati keenam-enam kru warga Vietnam berusia antara 27 hingga 44 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. 

“Bot mereka juga didapati membawa peralatan menangkap balat yang diperbuat daripada besi dan kira-kira 300 liter minyak diesel,” beliau berkata.

Semua suspek bersama bot terbabit ditahan untuk siasatan lanjut Dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM2 juta.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.