KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan pemberian ganjaran sebanyak RM2 bagi setiap tikus yang berjaya ditangkap dan diserahkan sepanjang pelaksanaan Kempen Membasmi Tikus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2025 bermula hari ini hingga 31 Julai 2025.
Kempen itu adalah sebahagian daripada inisiatif nasional yang digerakkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan melibatkan penyertaan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, termasuk DBKK.
Menurut DBKK, kempen ini bertujuan membanteras populasi tikus yang boleh membawa pelbagai penyakit berjangkit, selain mencemarkan kawasan bandar serta menjejaskan imej persekitaran.
Memetik laporan Sabah Media, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kempen berkenaan bertujuan membasmi tikus di lokasi tumpuan awam seperti pasar, selain meningkatkan tahap kecekapan pengurusan kebersihan dan persekitaran bandar raya.
“Masalah infestasi tikus bukan sekadar menjijikkan, malah membawa risiko penyakit berbahaya seperti Leptospirosis, yang boleh dijangkiti manusia melalui air tercemar dengan kencing tikus.
“Jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan kesihatan awam, mencemarkan imej bandaraya dan menjejaskan sektor perniagaan, khususnya di kawasan tumpuan seperti Pasar Besar Kota Kinabalu ini,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran kempen di di Pasar Besar Kota Kinabalu, pada Rabu.
Orang awam yang berjaya menangkap tikus akan diberikan bayaran tunai RM2 bagi setiap ekor yang diserahkan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak DBKK.
Kempen seumpama ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran komuniti tentang pentingnya menjaga kebersihan dan kawalan haiwan perosak sebagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama dalam mewujudkan bandar raya yang sihat dan selamat.
DBKK menyeru warga Kota Kinabalu untuk mengambil bahagian secara aktif dalam kempen ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan keberkesanan usaha pembasmian tikus di seluruh kawasan bandar.