PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan komitmen untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sekali gus menolak sebarang kerjasama dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS (AMT) yang berlangsung di Ibu Pejabat PBS di sini semalam.
“Pendirian kami jelas. PBS akan terus bekerjasama dalam gabungan GRS. Kami komited dengan kerjasama politik ini dalam menghadapi PRN17,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa PBS akan memperkukuh hubungan bersama parti komponen GRS yang lain, khususnya Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) yang diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
“Kami percaya perpaduan dalam kalangan parti berteraskan tempatan amat penting bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan di Sabah,” ujarnya.
Dr Joachim menambah, majoriti Ahli Majlis Tertinggi PBS turut menyuarakan penolakan terhadap sebarang kerjasama dengan UMNO atau BN dalam konteks PRN akan datang.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Penasihat Utama PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang memberi pandangan strategik terhadap hala tuju masa depan parti.
“Tan Sri Pairin berkongsi pandangan yang sangat bernilai dalam Mesyuarat Biro Politik. Panduan beliau berkaitan ‘Hala Tuju’ PBS kekal relevan dan penting untuk pimpinan parti,” katanya lagi.
Mesyuarat itu turut membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera pilihan raya serta usaha memperkukuh sokongan akar umbi PBS menjelang PRN17.
Dalam pada itu, Dr Joachim mengulangi komitmen PBS untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat tempatan, kepentingan pribumi dan suara Sabah di peringkat nasional menerusi pendekatan politik yang membina.
Beliau turut menyeru semua ahli PBS agar kekal bersatu dan bersemangat dalam perjuangan parti, serta bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya dengan keyakinan.