Advertisement

Hormati Undang-Undang dan Beri Peluang Dua ADUN Bersihkan Nama – Masidi – Sabah News

PUTATAN: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun menyeru semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak membuat sebarang andaian terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kini berdepan pendakwaan di mahkamah.

Ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Gagasan Rakyat Petagas semalam, Masidi menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap kedua-dua ADUN tersebut bukan bermakna mereka telah terbukti bersalah.

“Kita hormati proses undang-undang. Walaupun tindakan telah diambil, itu bukan bererti mereka bersalah. Mereka harus diberikan ruang dan peluang untuk membersihkan nama mereka melalui saluran undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, segala yang berlaku kini adalah manifestasi kepada prinsip perundangan yang harus dihormati oleh semua pihak termasuk parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita tidak terlalu memikirkan kesan politik. Yang penting ialah semua pihak, termasuk Gagasan Rakyat dan GRS, menghormati sistem keadilan negara,” tegas beliau.

Masidi turut mengulangi prinsip penting dalam perundangan bahawa setiap individu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“They are innocent until proven guilty. Ini prinsip asas dalam undang-undang yang kita semua perlu pegang dan hormati,” katanya.

Kenyataan ini hadir ketika spekulasi dan perbincangan hangat terus berlegar mengenai kedudukan politik dua ADUN yang kini berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Masidi sekali lagi menekankan bahawa biarlah proses keadilan berjalan tanpa gangguan atau penghakiman awal daripada mana-mana pihak.