KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya isu membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan pertuduhan rasuah kepada proses undangundang.
“Kita menghormati undang-undang, dan kita akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya. Kerajaan Negeri GRS tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin
kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, yang didakwa atas pertuduhan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, hari ini.
Mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan semasa, Ketua Menteri berkata beliau akan meneliti perkara itu dengan sebaiknya selepas menerima semua maklumat dan
laporan yang berkaitan.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri GRS komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
Andi, yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan serta Dr Yusof yang merupakan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, dituduh menerima wang daripada seorang individu bernama Datuk Tei Jeinn Cheing
sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan lesen mencarigali mineral bagi dua syarikat milik rakan niaga Tei.
Tei turut didakwa di mahkamah sama atas kesalahan memberi rasuah.