Advertisement

Tuduhan Tidak Berasas, Motif Politik Terdesak – PBS – Sabah News

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengecam tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadap parti dan pemimpinnya yang disifatkan sebagai serangan politik terancang untuk mencemarkan imej dan menjejaskan kepercayaan rakyat Sabah.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki menegaskan bahawa PBS sentiasa berpegang pada prinsip integriti, rendah diri dan khidmat kepada rakyat.

“PBS tidak pernah berkompromi dengan nilai-nilai perjuangan. Serangan ini bukan sesuatu yang baharu, malah satu corak biasa untuk melemahkan pihak yang enggan tunduk kepada politik kotor,” katanya.

Beliau berkata pemimpin PBS dikenali dengan rekod bersih dan gaya hidup sederhana, dan tuduhan tanpa bukti itu menyakitkan, bukan hanya buat parti, tetapi juga penyokong yang setia.

“Kami tidak akan membalas dengan fitnah atau pembohongan. Kami akan terus berkhidmat dengan jujur dan bermaruah,” tegasnya.

PBS menyeru orang ramai agar tidak terpedaya dengan naratif bermotif politik dan menyambut baik sebarang siasatan oleh pihak berkuasa bebas. Parti yakin kebenaran akan terbukti.

“Kami tetap komited untuk berjuang demi Sabah, menolak politik kotor dan mempertahankan kebenaran, keadilan serta hak rakyat negeri ini,” katanya.