KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun, Ng Su Yen, maut dalam kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah dua tingkat di Kampung Mansiang malam tadi.
Kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 8.27 malam dan berjaya dikawal oleh pasukan bomba dari Lintas dan Kota Kinabalu pada jam 8.54 malam.
Mayat mangsa ditemui pada jam 9.02 malam di tingkat bawah rumah, dipercayai tertindih almari yang tumbang berhampiran tangga.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata mangsa dipercayai tinggal bersendirian.
“Penduduk memaklumkan mangsa mempunyai tiga orang anak, namun tiada seorang pun yang tinggal bersamanya atau dikenali komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan.
Kebakaran dipercayai bermula dari tingkat atas rumah dan merebak dengan pantas. Punca kejadian masih dalam siasatan dengan bantuan Sabah Electricity Sdn. Bhd.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai waris mangsa diminta menghubungi Sub Inspektor Badrizaman Bin Abdol Rahman di talian 012-5095773.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.30 malam dengan penyertaan 20 anggota, dua jentera bomba, satu unit EMRS dan sebuah tangki air.