KOTA KINABALU: Sabah Development Bank Berhad (SDB) mencatatkan pemulihan kewangan yang ketara apabila berjaya mengurangkan kerugian sebelum cukai sebanyak 90 peratus kepada RM86 juta pada tahun 2024, berbanding RM878 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, bank milik kerajaan negeri itu berkata peningkatan tersebut adalah hasil pelaksanaan program transformasi menyeluruh yang dimulakan pada akhir 2023 di bawah kepimpinan baharu.
SDB menjangkakan akan kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2025.
“Kemajuan ini mencerminkan momentum positif dalam perjalanan Transformasi 3 Tahun SDB yang sedang berjalan,” menurut kenyataan itu.
Pihak bank menjelaskan bahawa kerugian besar pada 2023 berpunca daripada peruntukan tinggi untuk pinjaman tidak berbayar dan penyusutan nilai aset.
Kesihatan kewangan bank turut menunjukkan pemulihan ketara, apabila nisbah modal meningkat daripada 7.9 peratus pada akhir 2023 kepada 20.71 peratus menjelang Disember 2024, disokong oleh Kerajaan Negeri Sabah.
RAM Rating Services Berhad (RAM) mengekalkan penarafan kredit SDB pada tahap kukuh AA1 pada Jun lalu, dengan menyatakan keselamatan pembayaran yang tinggi dan prospek yang stabil.
SDB kini menumpukan semula operasinya kepada pembiayaan projek-projek pembangunan di Sabah, khususnya dalam sektor infrastruktur, tenaga dan bekalan air.
Antara Januari 2024 hingga Jun 2025, SDB telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.763 bilion di bawah mandat pembangunannya, manakala permohonan berjumlah RM9.646 bilion ditolak kerana berada di luar skop mandat tersebut.
Bank itu juga mencatat kemajuan dalam menangani pinjaman tidak berbayar melalui pasukan pemulihan khusus, dengan cadangan penyelesaian berjumlah RM965 juta telah diluluskan, selain jaminan bernilai RM2 bilion yang kini berada di bawah proses pelantikan penerima.