LAHAD DATU: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori treler muatan minyak sawit dan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Batu 16, Jalan Lahad Datu–Sandakan, malam tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.52 malam sebelum menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang tiba di lokasi pada jam 9.15 malam.
Jarak dari balai ke lokasi kejadian adalah sekitar 30 kilometer.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler milik Yee Ping Sdn Bhd yang bertembung dengan Isuzu D-Max. Tiga mangsa lelaki yang berada di dalam D-Max tersepit di bahagian hadapan dan belakang kenderaan.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi PBK I Mohammad Akbar Mohambar dan diselia oleh Komander Operasi Kanan PKPgB Sumsoa Rashid berjaya mengeluarkan kesemua mangsa, namun ketiga-tiganya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM.
Identiti mangsa maut Mohd Azizi, 28 tahun (pemandu D-Max), Muhammad Zulkhairi Ismail, 29 tahun (penumpang belakang) dan Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28 tahun (penumpang hadapan)
Pemandu lori treler, Abd Kadir Lanusa, 61 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital oleh pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Mayat ketiga-tiga mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
JBPM Sabah menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika memandu, terutama di laluan utama yang sering digunakan oleh kenderaan berat.