
–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
KOTA KINABALU: Isu Ambalat perlu ditangani secara bijaksana dan tidak dijadikan bahan politik yang boleh menjejaskan perancangan serta hasil pembangunan negara.
Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan bahawa pihak pembangkang wajar mengelakkan daripada memainkan sentimen emosi dalam isu ini.
Beliau menyatakan sokongan terhadap langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang bersetuju secara prinsip untuk meneroka kerjasama pembangunan bersama di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pendekatan ini bukan sesuatu yang baharu. Katanya, ketika masih dalam Kabinet, beliau turut mengangkat cadangan yang sama kerana ia terbukti berjaya seperti mana yang telah dilaksanakan di kawasan pertindihan maritim antara Kelantan dan Thailand.
“Kawasan yang menjadi pertindihan antara Malaysia dan Thailand dahulu tidak dapat dimanfaatkan kerana tiada penyelesaian jelas.
“Namun, pada era 1970-an, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
MTJDA, jelas Rafizi, dibentuk dengan wakil seimbang dari kedua-dua negara dan suara yang setara dalam membuat keputusan.
Melalui kerjasama ini, kontrak eksplorasi serta pengeluaran minyak berjaya dilaksanakan yang kemudian diserahkan kepada Petronas dan syarikat minyak Thailand, PTTEP.
“Hari ini, sekitar 30 peratus keperluan gas di Semenanjung Malaysia disalurkan dari kawasan tersebut.
“Sekiranya pembangunan bersama tidak dilakukan, kita mungkin terpaksa mengimport jumlah itu dengan kos yang jauh lebih tinggi,” tambah beliau.
Kenyataan Rafizi susulan gesaan beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu kerajaan memberi penjelasan terbuka berhubung rundingan dengan Indonesia berkaitan Ambalat.