TUARAN: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini bagi meneruskan Program Kredit Mikro yang bertujuan memperkasakan usahawan tempatan, khususnya golongan wanita berpendapatan rendah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana yang mencukupi bagi membolehkan agensi itu terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, katanya YUM turut menerima peruntukan geran sebanyak RM10 juta bagi modal pusingan pinjaman, selain geran perbekalan tahunan daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kos operasi program pinjamannya.
Berucap sempena Hari Keluarga YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini, Ketua Menteri berharap agar para peminjam YUM dapat melunaskan pinjaman mereka tepat pada masanya supaya lebih ramai lagi dapat menikmati manfaat daripada program tersebut.
“Kejayaan peminjam dalam memanfaatkan pinjaman YUM dengan baik bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka, malah membolehkan agensi ini meluaskan usaha membantu lebih ramai rakyat meningkatkan taraf hidup kerana mempunyai modal pusingan pinjaman yang mencukupi.
“Dalam masa yang sama, ahli-ahli YUM juga hendaklah sentiasa meningkatkan kemahiran perniagaan mereka dengan menyertai bengkel, kursus dan latihan yang disediakan termasuk oleh agensi lain, berinovasi dan menggunakan teknologi terkini serta meluaskan pasaran perniagaan masing-masing,” katanya.
YUM merupakan sebuah badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan Negeri yang menyediakan perkhidmatan kredit mikro bagi membantu isi rumah termiskin keluar daripada kemiskinan melalui modal pinjaman untuk menjalankan aktiviti menjana pendapatan.
“Sejak penubuhannya pada tahun 1995, Yayasan Usaha Maju telah menjadi salah satu agensi paling penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi, khususnya dalam komuniti luar bandar dan pedalaman,” katanya.