KIMANIS: Lebih 1,000 peserta menyertai larian amal ‘Run for Hope’ hujung minggu lalu bagi menyokong usaha pembinaan semula Chapel St Anne di Penampang Baru.
Larian tersebut dirasmikan dan dilepaskan oleh Uskup Agung Datuk John Wong, yang turut menyertai kategori terbuka lelaki sejauh 7km.
Tiga kategori ditawarkan, 7km, 12km dan 30km , yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas. Peserta tertua ialah Louis Ening Gabriel, berusia 76 tahun.
Acara itu turut disertai oleh suster, calon biarawati dan paderi, menunjukkan sokongan padu komuniti Katolik terhadap tujuan murni tersebut.
Menurut Pengerusi Penganjur, Jessel Kamijan, penganjuran edisi kedua larian yang dinamakan ‘Nuhu Dolorosa de Kamijan Trail Run 2.0’ bertujuan mengumpul dana pembinaan semula kapel tersebut yang kini tidak mampu menampung pertambahan jumlah jemaah untuk Misa Ahad.
Katanya, ilham larian ini tercetus daripada Monsignor Fr Nicholas Stephen yang mengetuai inisiatif kebajikan berkenaan.
Sukarelawan dari gereja sekitar bergabung tenaga dengan komuniti St Anne untuk menjayakan acara ini, yang turut diserikan dengan jualan barangan Rahmah, gerai makanan, karaoke berbayar, serta penjualan barangan cenderamata dan tiket cabutan bertuah.
Hadiah utama cabutan bertuah ialah sebuah motosikal, selain barangan elektrik lain dalam senarai 20 hadiah utama.
Antara pelari berpengalaman yang menyertai termasuk bekas juara Climbathon, Guanus Salagan dan isterinya Kona Liau.
Senarai pemenang utama bagi kategori 30km lelaki ialah Sheron Sariman di tempat pertama, diikuti Milton Amat dan Wilsen Singgin, manakala bagi wanita, ianya ialah Natasya Soon diikuti Adelinah Lintanga dan Stephanie Gelawit.