Advertisement

ESS Zone Kekal Aman dan Berdaya Saing, Jumlah Pelancong Terus Meningkat – Sabah News

SEMPORNA: Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) terus mengekalkan statusnya sebagai kawasan pelancongan yang aman, selamat dan berdaya saing, sekali gus menjadi tarikan utama kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pencapaian ini adalah hasil kerjasama bersepadu pelbagai agensi keselamatan dan usaha berterusan kerajaan dalam mengekalkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Tinjauan Keselamatan ESS Zone bersama Perwakilan Asing 2022 yang berlangsung di beberapa pulau pelancongan utama sekitar Semporna termasuk Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking.

“ESS Zone kekal sebagai destinasi yang aman, selamat dan berpotensi besar dalam sektor pelancongan. Ini adalah mesej utama yang ingin kita sampaikan kepada masyarakat antarabangsa,” katanya dalam sidang media di sini, Sabtu lalu.

Tinjauan keselamatan tersebut turut disertai 15 wakil diplomatik dari 10 negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Australia, China dan Korea Selatan, yang berpeluang menilai sendiri tahap keselamatan serta keunikan budaya tempatan.

“Mereka berinteraksi terus dengan komuniti setempat dan melihat sendiri kehidupan harian masyarakat di kawasan ini, sesuatu yang memberi nilai tambah kepada promosi pelancongan kita,” ujar Saifuddin.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada sebarang insiden penculikan berlaku di kawasan pantai timur Sabah sejak 15 Januari 2020, hasil pelaksanaan Operasi SANGGAH yang menggabungkan kekuatan PDRM, ATM, APMM dan agensi risikan.

Statistik menunjukkan perkembangan positif dalam sektor pelancongan di kawasan ESS Zone.

Pada 2022, sebanyak 64,470 pelancong dicatatkan, dan jumlah itu melonjak kepada 314,000 orang pada 2024. Bagi tahun ini, sehingga 31 Mei, seramai 107,412 pelancong telah direkodkan.

Saifuddin berkata, peningkatan ini mencerminkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap keselamatan kawasan tersebut dan menjadi bukti keberkesanan pendekatan diplomatik dan keselamatan bersepadu.

Program tinjauan ini, katanya, adalah sebahagian daripada strategi pembangunan berasaskan keyakinan (confidence building) yang menyatukan elemen keselamatan dan pelancongan, sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang meletakkan keselamatan sebagai asas kepada kesejahteraan dan pembangunan negara.