KENINGAU: Sebuah kereta jenis Proton Persona terbakar hampir 60 peratus selepas terbabas dan melanggar tiang lampu dalam kejadian awal pagi tadi di hadapan Pejabat JKR Keningau.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 2.51 pagi dan tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Ranizan Samirin berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bergegas ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Persona yang terbakar 60 peratus akibat terbabas dan melanggar tiang lampu.
“Seorang mangsa wanita berumur 26 tahun yang memandu kenderaan tersebut dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berjaya keluar dari kereta sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan menggunakan air dari jentera bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.18 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 3.29 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” tambah kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Untuk sebarang kecemasan, orang awam digalakkan terus menghubungi talian 999 atau balai bomba berdekatan.