Advertisement

Pulau Gaya Berpotensi Ikut Jejak Tuaran, Jana Pendapatan Melalui Akuakultur – Dr. Ritchie – Sabah News

KOTA KINABALU: Inisiatif ternakan kerang bernilai jutaan ringgit di Tuaran wajar dicontohi di Pulau Gaya bagi meningkatkan ekonomi penduduk pesisir, kata Dr. Ritchie Jay Cheng daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tanjung Aru.

Katanya, penglibatan komuniti dalam akuakultur dan pemprosesan makanan laut mampu menjana pendapatan dan menyokong rantaian pelancongan tempatan, sejajar dengan potensi RM34.4 juta setahun dan kedatangan jutaan pelancong ke Sabah.

“Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan, melatih belia dalam kemahiran perikanan moden dan memperkukuh Tanjung Aru serta Pulau Gaya sebagai hab makanan laut berkualiti,” katanya ketika menyampaikan 50 jaket keselamatan kepada nelayan berlesen di Pulau Gaya.

Beliau turut mencadangkan penggunaan tenaga solar sebagai penyelesaian kepada isu utiliti lama di Pulau Gaya. “Jika setiap rumah dilengkapi panel solar, kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional dapat dikurangkan,” ujarnya.

Mengenai politik, Dr. Ritchie menegaskan PGRS Tanjung Aru bersedia menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN akan datang, sama ada bertanding bersama atau secara bersendirian. PGRS Tanjung Aru kini mempunyai lebih 90 cawangan aktif.