Advertisement

Sabah Catat Nilai Dagangan RM107.8 Bilion, Tiga Tahun Berturut-Turut Cemerlang  – Sabah News

PUTRAJAYA: Sabah terus membuktikan peranannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara apabila mencatat nilai dagangan mencecah RM107.8 bilion bagi tahun 2024, menandakan kejayaan luar biasa tiga tahun berturut-turut melepasi paras RM100 bilion sejak 2022.

Merujuk kepada Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sabah terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi ini mencerminkan daya tahan ekonomi Negeri Di Bawah Bayu meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan pasaran global.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah dagangan Sabah bagi 2024 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ini adalah satu petanda positif dalam usaha memperkukuh kedudukan negeri ini dalam rantaian perdagangan dunia.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan Sabah untuk terus berdaya saing dan menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara,” ujar beliau dalam kenyataan yang dipetik.

Beliau menambah, kestabilan nilai dagangan ini turut mencerminkan keberkesanan dasar-dasar pembangunan ekonomi negeri serta pengurusan eksport dan import yang strategik.

Sabah mula melepasi angka RM100 bilion nilai dagangan pada tahun 2022, dan terus mengekalkan prestasi itu pada 2023 dan kini 2024 menjadikan ia antara negeri paling konsisten mencatat prestasi perdagangan tinggi di Malaysia.