KOTA KINABALU: Mantan Senator Datuk Noraini Idris menyifatkan insiden tragis di Tenghilan, yang melibatkan kematian seorang guru wanita dipercayai akibat serangan abang sendiri yang memiliki sejarah masalah mental, sebagai satu peringatan serius kepada semua pihak.
“Tragedi ini wajar membuka mata semua pihak bahawa isu kesihatan mental tidak boleh lagi dianggap remeh atau dipandang sepi,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan negeri, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, mempertingkatkan rawatan mental yang inklusif dan mudah diakses.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk menaik taraf Hospital Mesra Bukit Padang, menambah pakar psikiatri, dan mewujudkan pusat sokongan mental di setiap daerah.
Noraini turut menyarankan agar program pendidikan kesihatan mental diperluas dan pemantauan terhadap pesakit mental pasca-rawatan diperkukuh melalui kerjasama antara hospital, keluarga dan pihak berkuasa tempatan.
“Kesihatan mental adalah isu bersama. Pesakit mental memerlukan rawatan, bukan sekadar simpati tanpa tindakan,” tegasnya.