Advertisement

AS ‘Tampar’ Malaysia Dengan Kenaikan Tarif 25 Peratus – Sabah News

KOTA KINABALU: Amerika Syarikat telah mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Presiden AS Donald Trump menyifatkannya “jauh lebih rendah” daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan negara itu dengan Malaysia.

Hakikatnya, kadar ini lebih tinggi berbanding tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini ke atas sesetengah eksport Malaysia yang mana penangguhan selama 90 tamat hari ini.

Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di platform Truth Social miliknya, Trump menyatakan bahawa dasar perdagangan Malaysia telah mewujudkan hubungan dagang yang berat sebelah dan tidak seimbang dengan AS.

Trump menyatakan tarif ini akan dilaksanakan secara berasingan daripada tarif sektor tertentu yang sedia ada, dan sebarang cubaan mengalihkan barangan melalui negara lain bagi mengelak tarif ini akan dikenakan kadar lebih tinggi.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan Malaysia untuk menaikkan tarif ke atas barangan AS akan dibalas dengan tarif tambahan sebanyak 25 peratus.

“Fahami bahawa tarif ini perlu untuk membetulkan bertahun-tahun dasar tarif dan bukan tarif Malaysia serta halangan perdagangan yang menyebabkan defisit perdagangan tidak mampan terhadap AS,” katanya.

Walaupun begitu, Trump menegaskan komitmen AS untuk terus mengekalkan hubungan perdagangan dengan Malaysia walaupun berdepan defisit besar.

Beliau turut menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur dan menghasilkan produk di Amerika Syarikat, yang disifatkannya sebagai “pasaran nombor satu di dunia.”

“Seperti yang anda tahu, tiada tarif akan dikenakan jika Malaysia, atau syarikat-syarikat di negara anda, memilih untuk membina atau menghasilkan produk di AS.

“Malah, kami akan lakukan segala yang mungkin untuk mempercepatkan kelulusan secara profesional dan rutin dalam beberapa minggu sahaja,” tambahnya.

Trump turut mengeluarkan surat serupa kepada beberapa negara lain termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Thailand, dan Afrika Selatan.