KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memancing bersama rakan-rakannya di kawasan sungai berhampiran Tampilit Block 2503, Ladang Tomanggong Sukau, petang kelmarin.
Menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Balai pada jam 1.14 petang.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.48 petang setelah menempuh jarak sejauh 155 kilometer.
Komander Operasi, PB Alhafiz Amedjaed, memaklumkan bahawa mangsa dikenali sebagai Mare Miri, seorang lelaki bukan warganegara berusia 39 tahun, dipercayai disambar buaya ketika memancing bersama empat rakan lain di sungai tersebut.
“Mangsa dikatakan telah diterkam buaya secara tiba-tiba semasa sedang memancing di sungai. Usaha pencarian dan operasi menyelamat sedang digerakkan dengan kerjasama agensi lain,” jelasnya.
Operasi turut disertai oleh anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Hidupan Liar. Buat masa ini, status mangsa masih belum ditemui dan pencarian akan diteruskan sehingga maklumat lanjut diperoleh.
Sebarang perkembangan berkenaan operasi akan dikemaskini oleh Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dari semasa ke semasa.