Advertisement

PPM Sukau Nafi Dakwaan Bung, Tegaskan Rumah SMJ Agih Ikut Keperluan, Bukan Parti – Sabah News

KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sukau, Juslee Arpaih, tampil menafikan dakwaan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berhubung pengagihan projek Rumah Mesra SMJ (Rumah SMJ) di kawasan Sukau.

Menurut Juslee, tuduhan yang menyatakan rumah SMJ hanya diberikan kepada penyokong parti kerajaan adalah tidak berasas dan mengelirukan, malah tidak mencerminkan keadaan sebenar di lapangan.

“Daripada 40 penerima Rumah SMJ di Sukau, 15 orang adalah penyokong tegar Barisan Nasional (BN). Ini membuktikan bahawa agihan rumah ini tidak berpaksikan fahaman politik, sebaliknya berdasarkan keperluan rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan media di Facebook semalam.

Beliau turut menyangkal dakwaan Bung bahawa 23 buah rumah SMJ di kawasan tersebut kononnya terbengkalai. Jelasnya, lawatan pemantauan pada Jun lalu mendapati, 36 unit rumah telah siap 100 peratus, 2 unit sedang dalam proses penyiapan, dan 2 unit lagi ditangguhkan atas faktor isu tapak yang kini dalam tindakan Pejabat Daerah.

Juslee menyifatkan kenyataan Bung Moktar sebagai cubaan untuk mempolitikkan inisiatif kerajaan, yang sepatutnya dilihat sebagai program bantuan langsung kepada rakyat tanpa mengira latar belakang parti.

“Saya menggesa agar wakil rakyat tidak mengelirukan rakyat dengan dakwaan tidak berfakta. Segala data dan perkembangan projek boleh dirujuk terus kepada pihak berwajib,” katanya lagi.

Program Rumah SMJ adalah salah satu inisiatif utama Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang bertujuan menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh negeri.