KUCHING: Festival muzik rock paling dinanti di Borneo, Rock in the Jungle (RiTJ), bakal kembali menghangatkan Kampung Budaya Sarawak pada 29 dan 30 Ogos 2025 untuk edisi kedua yang menjanjikan lebih letupan muzik dan tenaga pentas luar biasa.
Selepas kejayaan penganjuran sulung tahun lalu, RiTJ 2025 menampilkan barisan artis yang lebih hebat – enam kumpulan rock terkemuka termasuk dua legenda dari Indonesia, iaitu Gigi dan Kotak yang akan membuka pentas pada hari pertama.
Turut mewakili suara Borneo, Nice Stupid Playground, legenda rock dari Sarawak akan menyemarakkan malam pembukaan dengan sentuhan tempatan.
Hari kedua pula menyaksikan kehadiran band metal Jepun terkenal, Loudness, bersama Fearless dan bintang baru Breathe in Ocean, menjanjikan malam penuh headbang dan semangat rock sejati.
“Kami bawakan nama-nama besar rantau ini untuk pengalaman yang anda tidak akan lupakan,” ujar penganjur RiTJ.
Tiket kini dijual dengan harga, RM169 untuk pas satu hari; RM300 untuk pas dua hari, manakala tawaran Early Bird berakhir pada 5 Ogos 2025.
Jangan lepaskan peluang menyertai degupan muzik rock di tengah rimba Sarawak! Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman rasmi dan saluran media sosial RiTJ.