Advertisement

Sabah Tarik Pelaburan RM35.38 Bilion di Bawah Pelan SMJ 1.0 – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah berjaya menarik pelaburan keseluruhan berjumlah RM35.38 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2024 melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, melibatkan 420 projek yang diluluskan merangkumi pelaburan domestik dan asing.

Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, sebanyak 52 pelaburan telah direalisasikan sepanjang tempoh tersebut, dengan nilai berjumlah RM17.42 bilion.

“Bagi suku pertama tahun ini sahaja, nilai pelaburan yang diluluskan mencecah RM10.9 bilion,” katanya semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan, RM20.61 bilion merupakan pelaburan tempatan manakala RM14.77 bilion lagi datang daripada pelabur asing.

Tambah beliau, pelaburan domestik melebihi pelaburan asing pada tahun 2023 dan 2024, dengan jumlah masing-masing RM11.21 bilion dan RM5.37 bilion.

Dalam tempoh sama, pelaburan asing mencatatkan RM130 juta (2023) dan RM1.08 bilion (2024).

“Pelaburan asing kebanyakannya tertumpu kepada sektor khusus seperti pembuatan foil tembaga, panel solar, minyak dan gas serta pengeluaran keluli,” katanya.

Sementara itu, pelabur tempatan terlibat dalam pelbagai sektor lain yang lebih meluas, di luar bidang-bidang khusus tersebut.

Nizam berkata pencapaian ini menunjukkan tahap keyakinan pelabur terhadap ekonomi Sabah yang terus meningkat di bawah pentadbiran sedia ada.

Bagi meneruskan perkembangan positif ini, kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan tiga taman perindustrian baharu iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, serta dua Taman Perindustrian Bersepadu di kawasan Kota Belud/Kota Marudu dan Beaufort/Kimanis.