Advertisement

Satu Jajaran Jalan Sabah-Kalimantan Dicadang, Kajian Awalan dan Rekabentuk Sedang Dilaksana – Sabah News

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengesahkan hanya satu jajaran utama jalan baharu dari Sabah ke Kalimantan, Indonesia yang telah dicadangkan setakat ini, sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.

Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, jajaran yang dimaksudkan ialah Projek Membina Jalan Baharu dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia–Indonesia (Simanggaris).

Menurut beliau, projek itu melibatkan pembinaan Jalan utama sepanjang 28 kilometer yang menghubungkan Jalan Sapulut–Kalabakan ke sempadan negara; dan satu jalan spur sepanjang 20 kilometer yang menghubungkan Kampung Serudong Laut ke laluan utama tersebut.

“Projek ini telah diluluskan untuk Kajian Awalan dan Rekabentuk di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3 RMKe-12) oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan YB Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) dalam persidangan DUN semalam.

Shahelmey memaklumkan bahawa ketika ini, kerja-kerja lapangan sedang giat dijalankan termasuk ukur tanah, pemetaan utiliti dan penyiasatan tanah untuk melengkapkan kajian dan rekabentuk projek tersebut.

Cadangan pembinaan jalan ini dilihat penting dalam konteks hubungan ekonomi serantau memandangkan pemindahan pentadbiran Indonesia ke Nusantara bakal membuka peluang strategik kepada Sabah sebagai pintu masuk perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.