Advertisement

Lelaki Hidap Amnesia dan Pernah Lupa Jalan Pulang Dilapor Hilang di KK – Sabah News

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 28 tahun yang menghidap amnesia dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas kali terakhir dilihat di kawasan Sinsuran 4 Complex, di sini.

Mangsa, Mohd Sobri, atau lebih dikenali sebagai Sobri, dilaporkan hilang pada 28 Jun 2025 sekitar jam 5.59 petang, dan sehingga kini masih belum ditemui.

Menurut laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kota Kinabalu pada 1 Julai, mangsa dipercayai keluar dari bilik sewanya di Sinsuran 4 Complex tanpa dapat dikesan sejak hari kejadian.

Ketika kali terakhir dilihat, Sobri memakai baju T-shirt oren berlengan pendek, seluar pendek hitam, dan selipar hitam.

Beliau mempunyai tinggi sekitar 5 kaki, berbadan sederhana dengan berat kira-kira 60 kilogram, berkulit kuning langsat, dan bermuka bujur.

Lebih membimbangkan, Sobri dipercayai menghidap amnesia dan pernah lupa jalan pulang, menjadikan usaha pencarian lebih mencabar kerana beliau mungkin dalam keadaan keliru, mudah panik, atau tidak mengenali kawasan sekeliling.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak individu berkenaan diminta segera menghubungi waris, Nur Aina Bte Masilin di talian 011-1168 9683, atau menghubungi Balai Polis Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berdekatan.

Pihak keluarga dan polis merayu kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu dalam usaha mengesan mangsa.