KOTA KINABALU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mesti menjadi teras dalam memperkasa belia luar bandar Sabah bagi mengurangkan penghijrahan tenaga muda ke Semenanjung, kata Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul.
Dalam ucapan alu-aluannya sempena Simposium TVET Sabah 2.0, beliau menegaskan bahawa TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan kedua.
“TVET mesti menjadi pemacu utama dalam memperkasa belia luar bandar.
“Ia perlu melahirkan pencipta pekerjaan, bukan hanya pencari kerja, khususnya dalam bidang agroteknologi, pelancongan komuniti dan kraf inovatif,” katanya.
Beliau membangkitkan isu ketidakpadanan kemahiran dan gaji rendah sebagai antara punca utama belia menolak pekerjaan dalam negeri.
“Tujuh daripada sepuluh pencari kerja muda menyatakan tawaran gaji rendah sebagai faktor utama mereka menolak pekerjaan dalam negeri,” ujarnya.
Ramzah turut menzahirkan kebimbangan mengenai Sabah yang terus menjadi “pengeksport tenaga kerja muda”, dengan hampir 195,000 rakyat Sabah bekerja di Semenanjung, kebanyakannya dari luar bandar.
“Sudah tiba masanya TVET menjadi pemangkin untuk membina semula peluang pekerjaan berkualiti di tempat sendiri,” tegasnya.
Beliau juga menggesa agar ekosistem TVET Sabah diperkuat secara menyeluruh dan mampan melalui penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi persekutuan, institusi TVET, industri dan komuniti.
Selain itu, pelaburan dalam kemudahan latihan dan tenaga pengajar yang berkualiti mesti dipertingkatkan.
“Sebanyak 67 peratus peralatan latihan di institut kemahiran di Sabah sudah berusia lebih 10 tahun,” katanya.
Beliau menyeru pembaharuan menyeluruh agar latihan dapat memenuhi keperluan industri moden.
Ramzah turut menekankan keperluan inklusiviti dalam TVET, menyasarkan belia luar bandar, wanita dan kumpulan B40, kerana hanya 27 peratus enrolmen pelajar TVET di Sabah adalah wanita, manakala penyertaan belia pedalaman masih rendah.
“Sabah mempunyai keunikan tersendiri… dan semua ini seharusnya dimanfaatkan melalui program TVET yang disesuaikan secara tempatan,” ujarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan aktif sebagai agen perubahan bagi merealisasikan wawasan pembangunan modal insan Sabah.
“Dengan sokongan padu semua pihak, saya yakin kita mampu melahirkan generasi muda Sabah yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi juga berwawasan dan mampu membangunkan komuniti mereka secara lestari,” katanya.