Advertisement

Helikopter PDRM Terhempas Ketika Latihan MITSATOM 2025 – Sabah News

ISKANDAR PUTERI: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ke dalam Sungai Pulai pagi tadi ketika menjalani latihan ketenteraan bersepadu sempena Field Training Exercise (FTX) bagi program Multilateral Nuclear Security Detection Exercise 2025 yang melibatkan kerjasama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura (MITSATOM 2025).

Menurut maklumat awal, insiden berlaku sekitar jam 10.15 pagi berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Jalan Cabang, Pekajang, Gelang Patah.

Helikopter berkenaan dilaporkan sedang menjalankan operasi latihan ketika ia tiba-tiba hilang kawalan dan menjunam ke dalam sungai.

Kejadian berlaku dalam kawasan kawalan keselamatan tinggi yang menjadi lokasi utama latihan bersama empat negara tersebut.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung jumlah kru di dalam pesawat dan tahap kecederaan yang terlibat.

Operasi menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan khas termasuk anggota PDRM, APMM, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

MITSATOM 2025 merupakan latihan multinasional yang bertujuan menguji kesiapsiagaan dan kerjasama pelbagai agensi dalam menghadapi ancaman keselamatan nuklear dan bahan radioaktif rentas sempadan.

Pihak berkuasa meminta orang awam untuk tidak menyebarkan spekulasi dan memberi ruang kepada operasi penyelamatan yang sedang berlangsung.

Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.