Advertisement

Pemuda Gagasan Rakyat Pitas Teguh Bersama Ketua Menteri Hadapi PRN17 -Asmey – Sabah News

PITAS: Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, Asmey Ruddy, menegaskan bahawa barisan pemuda kini berada dalam keadaan bersiap-siaga sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka akan berlaku pada bila bila masa.

Menurut beliau, pemuda memainkan peranan penting sebagai tenaga penggerak parti, bukan hanya sekadar mencari populariti tetapi benar-benar menjadi aset negeri dalam memastikan kemenangan calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) di setiap kawasan.

“Kita mesti mengambil sokongan belia dari semua tempat. Medan politik ini bukan hanya untuk mengejar populariti. Pemuda adalah barisan hadapan dalam meraih sokongan pengundi, demi memastikan kemenangan calon-calon GRS,” kata Asmey.

Beliau turut menyatakan sokongan padu Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Pitas kepada kepimpinan Ketua Menter, Datuk Seri Hajiji Noor yang banyak membawa pembaharuan dan usaha membela nasib rakyat terutamanya golongan belia.

“Presiden Gagasan Rakyat, DSP Hajiji sentiasa menekankan kepentingan pemuda dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai segala usaha dan inisiatif kerajaan negeri untuk membela belia dan beliawanis Sabah,” jelas Asmey.

Tambah beliau, banyak bantuan dan program telah diwujudkan oleh kerajaan negeri demi memastikan kesejahteraan belia, termasuk pelbagai inisiatif ekonomi, pembangunan bakat, sukan, serta program keusahawanan yang memberi manfaat terus kepada golongan muda di Sabah.

“Kami Pemuda di N.3 Pitas sudah bersedia untuk mendepani PRN akan datang. Pelbagai strategi sudah disusun rapi bagi memastikan setiap gerak kerja berjalan lancar tanpa ada yang terlepas pandang,” ujar Asmey lagi.

Program sukan persahabatan bola sepak di Kg Telaga, Pitas anjuran Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Pitas…

Beliau turut menekankan bahawa pemuda di Pitas aktif bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam program kemasyarakatan seperti bantuan kebajikan, sukan, kejohanan tempatan dan program e-sukan, yang dijadikan platform merapatkan hubungan antara belia serta masyarakat.

“Program-program ini tidak pernah terhenti. Kami mahu belia terus aktif, bersatu dan menjadi generasi yang berdaya saing,” katanya.

Asmey sekali lagi menyeru seluruh pemuda Sabah untuk terus berdiri teguh bersama Ketua Menteri demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri.

Beliau yakin dengan sokongan padu rakyat, Gagasan Rakyat Sabah akan terus kukuh memimpin negeri Sabah ke arah masa depan yang lebih gemilang.