KOTA KINABALU: Sabah Film and Visual Association (SAFVA) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Sabah melalui pelancaran platform penstriman Borneo.TV sebagai satu langkah penting untuk mengangkat bakat dan industri kreatif tempatan ke peringkat antarabangsa.
Namun dalam kenyataan rasmi oleh Penasihat Undang-Undang SAFVA, Yong Yit Jee, beberapa kebimbangan serius telah dibangkitkan berhubung isu pemilikan, hak harta intelek, royalti, dan kepatuhan undang-undang yang perlu ditangani segera agar Borneo.TV dapat beroperasi secara telus dan adil.
Antara isu utama yang diketengahkan ialah pemilikan Borneo.TV oleh syarikat berpusat di Semenanjung, IB Media Consultant Works Sdn Bhd (IB Media).
“SAFVA menuntut penjelasan mengenai pengagihan pendapatan daripada kandungan Sabah yang dipaparkan dalam platform tersebut, dan sama ada hasil tersebut akan memberi manfaat ekonomi langsung kepada negeri Sabah melalui hasil cukai.
“Hak harta intelek dan pembayaran royalti kepada artis tempatan turut menjadi kebimbangan utama. SAFVA menegaskan bahawa semua perjanjian antara Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan IB Media perlu memastikan ketelusan serta jaminan bahawa hak pencipta dan bayaran royalti dilindungi dengan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu, SAFVA menekankan keperluan agar IB Media mengesahkan pemilikan semua lesen penyiaran dan permit sah daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) memandangkan Borneo.TV berkemungkinan akan mengendalikan data peribadi pencipta dan pengguna.
“SAFVA juga menuntut Borneo.TV mengemukakan garis panduan kandungan dan terma perkhidmatan yang jelas, khususnya bagi mengelak sebarang liabiliti berkaitan kandungan berunsur fitnah, pelanggaran hak cipta, atau kandungan merbahaya.
“Kebimbangan turut dizahirkan terhadap perlindungan budaya komuniti asli Sabah. SAFVA menyeru agar prinsip Persetujuan Bebas, Praklin dan Terperinci (FPIC) diterapkan dalam penggunaan sebarang elemen budaya etnik Sabah. Ini penting bagi mengelakkan dakwaan eksploitasi budaya tanpa konsultasi atau persetujuan sewajarnya,” tegasnya lagi.
SAFVA turut menggesa agar perjanjian antara SMJ dan IB Media didedahkan kepada umum, demi memastikan ketelusan dan menjamin bahawa kepentingan artis dan penggiat industri kreatif Sabah sentiasa diutamakan.
Sehubungan itu, SAFVA menyeru agar dialog terbuka dan konstruktif diadakan segera antara SMJ, IB Media, SAFVA, Jawatankuasa Tindakan Industri Kreatif Sabah (JATIKS), dan kumpulan bakat tempatan bagi menyelesaikan segala isu undang-undang dan dasar secara menyeluruh.
“SAFVA bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan untuk membina sebuah platform yang sah di sisi undang-undang dan benar-benar mendukung komuniti kreatif Sabah,” ujar Yong lagi.
Inisiatif Borneo.TV merupakan peluang besar buat penggiat seni Sabah, namun SAFVA mengingatkan bahawa langkah tersebut haruslah dilaksanakan secara berintegriti, inklusif dan mematuhi peraturan undang-undang yang sedia ada.