NABAWAN: Dua lelaki cedera ringan dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang melanggar penghadang jalan di Kampung Bahagia, Nabawan awal pagi tadi.
Menurut kenyataan rasmi Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi dan jentera tiba di lokasi enam minit kemudian.
Komander Operasi, PBK II (KUP) Shmri Sapin, memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa yang berusia 31 dan 36 tahun telah dikeluarkan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Nabawan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian.
“Tiada operasi menyelamat dijalankan kerana mangsa telah dikeluarkan lebih awal. Pihak bomba hanya menjalankan kerja-kerja keselamatan seperti mencabut kepala bateri kenderaan serta mengumpul maklumat di lokasi,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi kejadian.
Turut membantu dalam insiden ini ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Enam anggota BBP Nabawan bersama satu jentera jenis FRT terlibat dalam operasi tersebut.
JBPM Sabah mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, terutama ketika memandu pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.