KOTA KINABALU: Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam menegaskan bahawa kerjasama hanya antara PBS dan STAR tanpa GRS seolah ‘membunuh diri’ di medan politik.
“Kita mungkin akan jadi kingmaker, tapi gabungan terbaik adalah GRS kerana ia sepenuhnya tempatan. Kalau GRS kalah, pihak lain akan terus kuasai Sabah,” katanya.
Beliau juga yakin GRS mampu menang di kawasan seperti Sulabayan, Semporna dan Sungai Sibuga, serta menyeru agar golongan belia memperkukuh gerak kerja akar umbi.
“Kalau mahu jadi seperti Sarawak, kita kena sanggup berkorban,” tambahnya.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan pula berkata Sabah telah lama dijajah melalui agenda “mereka” sejak sebelum kemerdekaan.
“Kita mahu merdeka dahulu, baru masuk Malaysia. Pentingnya rakyat memahami sejarah sebenar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perjuangan asal Sabah.
“Proklamasi 16 September tak isytihar Sabah sebagai negeri merdeka kita hanya jadi negeri Melayu dalam Persekutuan.
“Dulu MA63 pantang disebut, sekarang semua parti guna untuk kepentingan masing-masing hingga rakyat berpecah,” katanya.
“Sabah dan Sarawak lebih besar, tapi bahagian pentadbiran lebih sedikit. Hak kewangan kita lebih dari 40 peratus, kenaikan pembayaran interim daripada RM26 juta ke RM600 juta cuma ‘gula-gula’”.