RANAU: Sebuah kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah kereta Proton Saga telah berlaku di Jalan Ranau-Kundasang malam tadi, membabitkan seramai 23 orang mangsa.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 malam.
Susulan itu, pihaknya menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer dan jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.37 malam.
Komander Operasi, PBK II Nickson Juni memaklumkan, 21 daripada mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Manakala seorang mangsa, iaitu pemandu bas berumur 65 tahun, mengalami kecederaan, seorang lagi penumpang bas, seorang wanita dewasa, dilaporkan tidak sedarkan diri.
“Kedua-dua mangsa tersebut telah diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Ranau menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Difahamkan, seorang daripada penumpang bas merupakan warganegara China manakala selebihnya adalah rakyat tempatan.
Pemandu kereta Proton Saga, seorang lelaki dewasa, dilaporkan selamat.
Operasi turut dibantu oleh anggota KKM, Polis Diraja Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.44 malam.