PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghantar isyarat jelas bahawa masa depan politik negeri ini perlu ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri, bukannya ditentukan oleh kuasa dari luar negeri.
Tegas Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, rakyat Sabah adalah “master sebenar” yang layak menentukan pemimpin dan halatuju negeri ini.
Katanya, sudah tiba masanya untuk mengubah landskap politik Sabah agar lebih berteraskan kuasa dan suara tempatan, dan bukannya bergantung kepada pimpinan dari Semenanjung Malaysia seperti yang diamalkan dalam parti-parti nasional.
“Kalau dalam parti nasional, calon pilihan raya dan Ketua Menteri pun ditentukan oleh pimpinan pusat. Maka yang dipilih bukan setia kepada rakyat Sabah, tapi kepada ketua di sana,” katanya dalam sidang media sempena Confest 2025 Festival Pengguna di ITCC Penampang.
“Sebaliknya, dalam parti lokal seperti GRS, watikah calon dikeluarkan oleh pemimpin tempatan, dan Ketua Menteri dipilih oleh kita sendiri, orang Sabah. Maka, kita perlu hantar isyarat – the master is not there, the master is here. The ultimate master is the rakyat of Sabah,” tegas Armizan.
Beliau turut mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak sebarang kerjasama dengan GRS menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17, dan menyifatkannya sebagai satu perkara yang memudahkan urusan politik GRS.
“Tanpa kita perlu menolak, mereka sendiri nyatakan tidak mahu bekerjasama. Ini memudahkan kerja kita dan elakkan kita dilihat angkuh. Kita ucap terima kasih, dan teruskan tumpuan kepada usaha mendapatkan sokongan rakyat,” katanya.
Armizan juga menjelaskan bahawa pendirian GRS kini lebih fokus kepada kestabilan, autonomi dan kepimpinan tempatan tanpa terlalu bergantung kepada gabungan luar yang boleh menyekat kebebasan politik Sabah.
“Yang penting bukan siapa angkat siapa, tapi siapa yang dipilih oleh rakyat. Itulah perubahan yang kita mahu bawa. Politik Sabah mesti digerakkan oleh orang Sabah, untuk rakyat Sabah,” katanya.