TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dipercayai akibat dilanggar lari oleh sebuah kereta jenis Proton Iswara di Kampung Lok Batik, Jalan Sulaman-Tuaran, pagi kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin bin Ag. Maidin, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.50 pagi, melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss serta sebuah motokar Perodua Kembara yang dipercayai telah dilanggar oleh Proton Iswara berwarna perak dan hitam.
“Siasatan awal mendapati pemandu Proton Iswara terbabit telah melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian, di hadapan sebuah rumah tidak beralamat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Polis sedang giat mengesan pemandu Proton Iswara yang terlibat dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Insp. Haffiz di talian 011-61600964 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.
Pihak polis turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang, dan berhemah ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini.