Advertisement

RUU Tambahan Akan Dimanfaat Bantu Selesai Isu Asas Rakyat – Sabah News

TAWAU: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tambahan 2025 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu-isu asas rakyat, terutamanya berkaitan masalah bekalan air bersih yang telah lama membelenggu penduduk Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan tambahan yang diluluskan menerusi RUU itu akan digunakan sepenuhnya untuk menaik taraf loji rawatan air dan meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh negeri, termasuk di kawasan Apas dan Tawau.

“Kerajaan negeri tidak lagi mahu menangguhkan projek-projek keperluan asas yang memberi impak langsung kepada rakyat. Isu bekalan air ini adalah legasi pentadbiran dahulu, namun kita tidak menyalahkan sesiapa. 

“Kerajaan hari ini mengambil tanggungjawab penuh untuk selesaikannya secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tawau, di sini, semalam.

Nizam turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek bekalan air di kawasannya amat dinanti-nantikan penduduk, justeru beliau mahu agar peruntukan yang diluluskan tidak hanya kekal di atas kertas, tetapi diterjemahkan dalam bentuk hasil yang benar-benar dapat dirasai rakyat.

Mengulas mengenai sambutan 100 tahun SK Bandar Tawau, Nizam menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian sekolah tersebut yang menunjukkan peningkatan cemerlang dalam bidang akademik sejak empat tahun kebelakangan ini.

“Sekolah ini bukan sahaja antara yang tertua di Tawau sejak 1925, malah telah melahirkan ramai tokoh profesional seperti doktor, peguam, akauntan dan ahli politik.

“Lebih istimewa, saya sendiri adalah bekas murid SK Bandar dan datuk saya merupakan guru besar pertama sekolah ini ketika ia dikenali sebagai Government Vernacular School,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada para guru dan kakitangan yang telah menabur bakti di sekolah itu sejak dahulu hingga kini, dan berharap SK Bandar terus melakar kecemerlangan serta menjadi simbol kejayaan pendidikan di daerah Tawau.