TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang bertindak agresif dan mengeluarkan ugutan jenayah terhadap penghuni sebuah rumah di Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 malam, suspek berusia lingkungan 40-an dikatakan mengamuk sambil membawa sebatang kayu dan mengugut untuk mengambil parang serta menetak penghuni rumah yang merupakan ahli keluarganya sendiri.
Katanya, suspek merupakan sepupu kepada isteri mangsa dipercayai berkelakuan sedemikian tanpa sebab yang jelas.
“Susulan laporan yang diterima pada jam 12.56 tengah malam, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Tawau digerakkan ke lokasi kejadian, berjaya menahan suspek bersama sebatang kayu,” katanya.
Menurut ACP Jasmin, polis turut merampas sebatang kayu berukuran lebih kurang 3 sentimeter lebar dan 70 sentimeter panjang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen sah.