Advertisement

Belia Kiulu Diiktiraf, Galak Usahawan Muda Pelancongan dan Agro

KIULU: Tiga belia Kiulu menerima anugerah pengiktirafan dalam bidang pelancongan dan keusahawanan agro sempena program Santai Pitimungan Belia Kiulu, anjuran Kelab Belia Prihatin Kiulu dan Persatuan Pelancongan Kiulu.

Penerima ialah Juanson Moidin (Usahawan Pelancongan Belia, Kg Pahu), Charlie Gumbolog (Usahawan Agro-Pertanian Belia, Kg Taginambur), dan Dell Darion Victor (Usahawan Agro-Perikanan Belia, Kg Rugading).

Majlis disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, yang turut menyampaikan insentif kepada 17 pelajar cemerlang STPM SMK Tun Fuad Stephens serta mengiktiraf dua bekas pelajar sekolah itu atas pencapaian sukan.

Pengerusi kelab, Elsheera Alfred Yapat berkata, program itu bertujuan memperkasa belia melalui jaringan dan perkongsian bakat demi masa depan Kiulu.

Joniston pula menekankan kepentingan pengiktirafan bagi membina keyakinan belia, dan mencadangkan program “Idea Pitch Mini” bagi menyokong idea niaga atau komuniti yang berpotensi menerima dana permulaan.

Acara turut diserikan pertandingan pakaian tradisional, persembahan muzik, pasar hasil tempatan dan taklimat peluang pembiayaan usahawan muda.