KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengesahkan bahawa tuntutan Sabah berhubung pemberian 40 peratus hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal MA63 di Kota Kinabalu pada Isnin.
Mesyuarat itu turut melibatkan pembentangan rasmi oleh Kerajaan Negeri Sabah mengenai tuntutan berdasarkan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju agar isu ini dibawa ke peringkat tertinggi MTPMA63 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, memandangkan terdapat perbezaan tafsiran undang-undang yang perlu diperjelaskan sebelum keputusan dasar dapat dibuat,” jelas Fadillah.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan kekal komited menyelesaikan isu MA63 secara menyeluruh dan adil, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Untuk rekod katanya, jumlah pemberian khas kepada Sabah telah ditingkatkan secara interim daripada RM125.6 juta (2022) kepada RM300 juta (2023), dan kini kepada RM600 juta bagi tempoh lima tahun sehingga 2029.
“Sekiranya persetujuan dicapai dalam tempoh tersebut, Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan perintah baharu bagi menggantikan amaun interim tersebut.
Tambah Fadillah, Kementerian Kewangan Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.
“Komitmen terhadap semangat MA63 akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.