Advertisement

Program Adat Kerungkapan Kukuhkan Perpaduan Komuniti DUN Kundasang – Dr. Joachim

RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, menyeru agar tradisi dan adat kampung terus dipelihara sebagai pemangkin perpaduan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Pelaksanaan Adat Kerungkapan sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Sambutan Pesta Menuai di Kampung Tarawas Ranau, pada Ahad lalu.

Program dua hari itu turut melibatkan Kampung Tinaum dan Kampung Mangkapoh.

Menurut Ketua Daerah, OKK Dominic Ghanie, istilah “rungkap” berasal daripada bahasa Dusun yang merujuk kepada orang luar yang bukan berasal dari kampung tersebut, namun diberikan kebenaran untuk mengusahakan tanah bagi pertanian, tertakluk kepada adat dan undang-undang kampung.

Dalam ucapannya, Dr. Joachim mengucapkan tahniah kepada peserta rungkap yang diketuai Aliyu Zinin, sambil menyatakan sokongan terhadap usaha memelihara adat tersebut sebagai elemen penting perpaduan komuniti pelbagai latar belakang.

Beliau turut mengumumkan pembinaan dewan mini untuk komuniti Kampung Tarawas, serta kerja-kerja pembaikan jalan kampung yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Majlis turut diserikan dengan perasmian dewan mini Kampung Mangkapoh serta sambutan meriah Pesta Menuai yang menjadi simbol penghargaan kepada hasil bumi dan kerjasama masyarakat.

“Program sebegini memberi ruang untuk kita berkumpul, berbincang dan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat secara harmoni,” kata Dr. Joachim.

Selain itu, satu taklimat mengenai Program PANTAS turut diadakan di Kampung Tinaum, disampaikan oleh Setiausaha Sulit kepada Dr. Joachim, Japili Sami.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Politik Yubidi Gompoyo, Ketua Daerah OKK Muhasip Haji Roman, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dounis Sani, Ketua-ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK serta kakitangan UPPM DUN Kundasang.

Program ini sekali lagi membuktikan peranan adat dan kepimpinan akar umbi dalam memperkukuh keharmonian serta semangat kekitaan di kalangan masyarakat luar bandar.