PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyeru golongan belia agar menjadikan sukan sebagai gaya hidup sihat, platform perpaduan serta peluang membina kerjaya dalam keusahawanan.
Beliau berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan untuk menyokong penglibatan usahawan belia dalam industri sukan.
“Antara yang ditawarkan ialah Skim Pembiayaan Industri Sukan di bawah Bank Rakyat, selain pembiayaan kepada usahawan kecil dalam perniagaan gimnasium dan peralatan sukan melalui TEKUN Nasional.
“Koperasi belia yang menjalankan perniagaan juga boleh memohon geran daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), tertakluk kepada pendaftaran dan aktiviti perniagaan koperasi yang sah,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Tinju Kebangsaan 2025 anjuran Persekutuan Tinju Malaysia di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, kelmarin.
Turut hadir Presiden Persatuan Tinju Malaysia, Datuk Iruan Zulkefli dan Presiden Persatuan Tinju Amatur Sabah, Datuk Orlando Harumal.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, penganjuran kejohanan sukan seperti itu bukan sahaja dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan tinju, malah memainkan peranan besar dalam memupuk nilai perpaduan dan persahabatan dalam kalangan rakyat.
“Penganjuran kejohanan seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah menjadi landasan kukuh dalam mempererat hubungan sesama rakyat.
“Kehadiran saya adalah tanda sokongan terhadap sukan sebagai platform perpaduan, persahabatan dan kebersamaan rakyat, di samping melahirkan atlet tinju negara khususnya dari Sabah.
“Melalui sukan, kita bukan sahaja dapat bersaing secara sihat, tetapi juga membina persahabatan dan perpaduan rakyat yang harmoni,” katanya.
Pada majlis sama, Ewon turut mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyampaikan mock cheque peruntukan sebanyak RM175,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan sebagai geran penganjuran kejohanan tersebut.