KOTA KINABALU: Dua bintang popular dari Indonesia, Andmesh Kamaleng dan Ziva Magnolya, bakal menghangatkan pentas Sabah International Convention Centre (SICC) dalam konsert berskala besar, Festival Tentang Cinta yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos 2025.
Konsert anjuran Extreme Visionary Venture ini menyatukan artis-artis serantau dari Malaysia dan Indonesia dalam satu malam penuh emosi dan melodi cinta.
Selain Andmesh dan Ziva, barisan artis tempatan turut memeriahkan pentas termasuk Ara Johari, Adira Suhaimi, Mary Grace dan pelantun lagu Diam, Hael Husaini.
Pengarah Urusan Extreme Visionary Venture, Julianah Ishak, menyatakan hasrat besar untuk menjadikan konsert ini sebagai salah satu platform pemersatu muzik serantau, terutamanya dalam membina hubungan erat antara peminat Malaysia dan Indonesia.
“Ini adalah penganjuran sulung kami untuk Festival Tentang Cinta dan kami sangat teruja kerana berjaya menghimpunkan barisan artis serantau di pentas berprestij SICC. Kami berharap sambutan luar biasa daripada peminat di Sabah dan negeri-negeri sekitarnya,” ujarnya.
Penyanyi muda yang semakin mencuri perhatian di Indonesia, Ziva Magnolya, meluahkan rasa teruja kerana berpeluang mengadakan persembahan sulungnya di Kota Kinabalu.
“Ini kali pertama saya menyanyi di Sabah dan saya sangat menghargai peluang yang diberikan. Jangan lupa beli tiket dan jumpa saya serta artis-artis hebat lain di SICC pada 9 Ogos nanti,” katanya.
Sementara itu, Andmesh Kamaleng, yang pernah ke Sabah sebelum ini, menyifatkan festival ini sebagai medan menyatukan peminat dan artis melalui kekuatan muzik cinta.
“Saya sangat senang kerana dapat kembali ke Kota Kinabalu. Kami akan berikan yang terbaik dari segi susunan muzik, persembahan dan pengalaman. Semoga peminat terhibur,” katanya.
Penganjuran Festival Tentang Cinta turut mendapat sokongan Tourism Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha mempromosi pelancongan domestik melalui penganjuran acara berskala besar dan bertaraf antarabangsa.
Tiket untuk konsert ini kini sudah mula dijual secara dalam talian melalui www.ticket2u.com.my dengan harga, RM988 – VVIP; RM488 – VIP; RM288 – Gold; RM158 – Silver.
Peminat muzik dari seluruh Sabah dan rantau ini dijemput hadir untuk merasai sendiri pengalaman konsert cinta paling istimewa tahun ini hanya di Festival Tentang Cinta, 9 Ogos 2025 di SICC.