KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan menegaskan agar semua pihak termasuk sekolah mengambil tindakan tegas terhadap kes buli tanpa melindungi pelaku, walaupun mereka juga pelajar.
“Kalau ada pelajar yang dibuli, bermakna ada pembuli di sekolah dan perkara ini perlu diambil tindakan tegas, diberi pengajaran keras,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fairuz mengecam tindakan melindungi identiti pembuli dan menyifatkannya sebagai bibit kepada jenayah masa depan.
“Jika hari ini dia buli rakan sekolah, esok bila dewasa… ini laH bibit-bibit sifat penjenayah yang kelak boleh merosakkan keharmonian dalam institusi masyarakat kita,” katanya lagi.
Beliau mengulas kes kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu SMA Tun Datu Mustafa Limauan di Papar yang tular baru-baru ini.
“Saya seorang bapa… anak kita yang kita tatang bagai minyak penuh, meninggal dunia kerana kejadian yang tidak pernah kita bayangkan.
“Saya menyeru semua yang memegang kuasa… tolong bantu kita didik anak-anak dan beri hukuman setimpal kerana kita perlu kekang budaya samseng dan buli di sekolah,” tegas beliau.
Fairuz turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menzahirkan rasa sedih terhadap insiden tersebut.