TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memukul anak perempuanya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan trauma, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek berusia 42 tahun yang juga bapa kandung kepada mangsa ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kira-kira jam 8.30 malam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, selepas laporan polis dibuat oleh bekas isterinya pada jam 5.41 petang, pada hari yang sama.
Menurutnya, mangsa yang kini tinggal bersama neneknya menghubungi ibunya yang berada di Kota Kinabalu untuk memaklumkan mengenai insiden berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada hari Isnin lalu kira-kira jam 9.30 pagi, ketika mangsa berusia 14 tahun sedang berada di rumah neneknya. Suspek dipercayai bertindak memukul mangsa dengan menggunakan objek keras di bahagian telinga kiri serta seluruh badan.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan bekas isterinya berkaitan satu tuduhan yang dilemparkan terhadap wanita berkenaan di hadapan anak mereka,” katanya.
Menurut Superintendan Champin, mangsa juga mengalami kesan kecederaan lebam di seluruh badan dan trauma akibat kejadian tersebut.
“Bertindak atas laporan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek dalam masa kurang 24 jam dan turut dirampas satu gulung plastik berwarna kelabu dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian tersebut.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau iaitu di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan. Salah satu daripadanya pernah disabitkan dan dihukum,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian dan pendedahan terhadap kanak-kanak dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Pihak polis menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa, agar tidak menjadikan konflik rumah tangga sebagai punca penderaan terhadap anak-anak.
Sebarang bentuk pengabaian, keganasan atau pendedahan kepada bahaya boleh memberi kesan buruk terhadap emosi dan keselamatan kanak-kanak, selain boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar siasatan dan tindakan segera diambil.