TAWAU:Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan pihak polis selepas disyaki menyimpan senjata api tanpa lesen dalam satu serbuan yang dijalankan di kawasan Kalabakan, dekat sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan semasa menjalankan rondaan Ronda Cegah Jenayah (RCJ).
“Hasil pemeriksaan di kawasan semak berhampiran rumah suspek membawa kepada penemuan satu laras senapang patah (bakakuk), satu laras senapang angin buatan sendiri, dua batang paip besi, satu rangka senjata api yang tidak lengkap serta tiga butir peluru berlainan jenis yang disembunyikan dan ditutupi menggunakan kain hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Kalabakan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Polis menegaskan komitmen untuk terus membanteras sebarang aktiviti pemilikan senjata api secara haram dan menyeru orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan bersama.