Advertisement

Masalah Bekalan Air di Hotel dan Pusat Membeli-Belah Sekitar KK Kian Pulih – Shahelmey – Sabah News

PUTATAN: Masalah tekanan air rendah yang melanda beberapa hotel bertaraf lima bintang dan pusat membeli-belah utama di sekitar Kota Kinabalu sejak dua minggu lalu kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan daripada pengusaha hotel di sekitar ibu negeri yang melaporkan gangguan tekanan air yang rendah, terutamanya di waktu-waktu tertentu dalam tempoh 24 jam.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Air bahawa gangguan ini berpunca daripada permintaan bekalan air yang tinggi serta beberapa kerosakan teknikal yang mengambil masa untuk dipulihkan.

“Namun begitu, dalam satu hingga dua hari ini, tekanan air telah menunjukkan peningkatan ketara,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Serahan Sumbangan Pelajar Cemerlang STPM 2024 di Hotel Pan Borneo, semalam.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III menjelaskan, pemulihan ini berkemungkinan hasil daripada penyambungan paip Telibong 2 Fasa 2 yang telah siap dua hari lalu, dan kerja-kerja flushing, testing serta commissioning telah dimulakan sejak Rabu lalu.

“Sebahagian kawasan seperti Inanam sudah mula menerima bekalan air daripada sistem Telibong 2, dan ini dijangka membantu meningkatkan bekalan air terawat untuk kawasan Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai isu tekanan air di Putatan yang berada dalam keadaan kritikal pada Isnin lalu, disebabkan paip pecah berhampiran loji simpanan air dan masalah teknikal dalam sistem agihan.

“Saya pada awalnya agak terkilan kerana loji baharu UWSS di Kasigui yang mempunyai kapasiti 5 juta liter sehari telahpun beroperasi, namun bekalan air masih tidak sampai ke pengguna. Saya telah arahkan Jabatan Air untuk menyemak masalah teknikal ini dan menyediakan pelan pemulihan,” katanya lagi.

Menurut beliau, beberapa kawasan di Putatan sudah mula menunjukkan pemulihan dan tekanan air kembali stabil, manakala jumlah bekalan air keseluruhan dijangka mencukupi selepas sistem agihan baharu mula berfungsi sepenuhnya minggu ini.

Ketika ditanya berapa ramai pengguna yang terjejas dalam krisis air minggu lalu, Shahelmey berkata beliau tidak mempunyai angka rasmi tetapi mengakui menerima banyak aduan, termasuk semasa berada di Kuala Lumpur.

“Antara punca dikenal pasti ialah paip pecah, angin terperangkap dalam sistem saluran serta isu teknikal berkaitan kapasiti pam,” jelasnya.

Antara hotel yang mengalami tekanan air rendah termasuk Promenade, Le Meridien dan Marriott. Namun, Shahelmey memaklumkan pihak pengurusan Le Meridien telah menyatakan kepuasan terhadap tahap pemulihan tekanan air yang diterima setakat ini.

“Kita masih memantau dan sediakan pelan kontingensi, termasuk penghantaran air melalui lori tangki jika berlaku penurunan tekanan semula,” katanya.

Beberapa pusat membeli-belah seperti Suria Sabah dan Wisma Merdeka juga pernah mengalami gangguan, namun kini telah pulih.

“Setakat ini, keadaan di kawasan pusat bandar (CBD) hampir pulih sepenuhnya,” tambah beliau.

Shahelmey memberi jaminan bahawa pemantauan rapi akan terus dilakukan dan tindakan susulan akan diambil bagi memastikan masalah ini tidak berulang serta bekalan air kepada pengguna sentiasa stabil dan mencukupi.