PENAMPANG: Sebuah premis hiburan di New World Commercial Centre di sini diserbu pihak polis dalam satu operasi bersepadu dikenali sebagai Op Noda (Pusat Hiburan) yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang baru-baru ini.
Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berumur 18 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan atas kesalahan menjalankan aktiviti hiburan awam tanpa lesen dan beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.
Turut dirampas dalam operasi tersebut adalah pelbagai peralatan muzik milik premis terbabit.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958, dan tangkapan serta barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.
“Polis akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau turut menasihatkan semua pemilik premis hiburan di daerah ini agar mendapatkan lesen hiburan awam yang sah dan tidak menjalankan operasi melebihi had masa yang ditetapkan.
IPD Penampang, katanya, kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat melalui tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan aktiviti hiburan.