Advertisement

Lelaki Ditahan, Miliki 22 Paket Syabu Bernilai Lebih RM5,000 di Lahad Datu – Sabah News





LAHAD DATU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu telah berjaya membuat satu tangkapan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan pesisir pantai Jalan Pantai, Lahad Datu.

Polis Lahad Datu memaklumkan, dalam kejadian jam lebih kurang 11.30 pagi, sepasukan anggota polis diketuai oleh Insp. Romi Asparin telah menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang berada di dalam sebuah bot berwarna kuning di kawasan berhampiran tandas awam. Pemeriksaan terhadap suspek telah menemukan satu beg silang berwarna merah bertulis “SUPREME” yang disilang di badannya.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemukan satu sampul surat putih berjalur merah/biru bertulis By Air Mail Par Avion mengandungi 22 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 51.68 gram serta satu paket plastik berisi sepuluh gulung kertas timah (foil).

“Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Anggaran nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM5,684.80,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penggunaan dadah berbahaya.

Suspek telah di tahan untuk siasatan lanjut.