KIULU: Parti politik tempatan yang memilih bertanding secara bersendirian dalam PRN akan datang tidak selari dengan kehendak rakyat yang mahukan kestabilan dan kerjasama tempatan yang kukuh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau menegaskan pendekatan bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbukti berkesan mentadbir negeri secara inklusif, stabil dan berfokus kepada pembangunan jangka panjang.
“Kerajaan GRS bergerak seiring dengan kerajaan GPS di Sarawak, yang dibentuk oleh parti tempatan mewakili semua kaum. Ini pendekatan terbaik buat Sabah,” katanya pada program turun padang dan Papawantai Taasok pada Sabtu.
Mengulas langkah Warisan dan PKDM untuk bertanding sendirian, Joniston menyifatkannya sebagai taktik politik yang bertentangan dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita tidak menafikan hak mana-mana parti untuk bertanding sendiri, tetapi akhirnya rakyat akan menilai berdasarkan hasil. Kestabilan hanya boleh dicapai apabila parti tempatan memilih untuk bekerjasama, bukan bersaing sesama sendiri,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa Warisan dan PKDM pernah cuba bergabung dengan UMNO untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, yang jelas lebih mengutamakan kepentingan politik peribadi berbanding kestabilan negeri.
Menurut Joniston, di bawah pimpinan Hajiji, GRS membuktikan gabungan parti tempatan boleh berfungsi dengan baik dan mencapai pelbagai kejayaan seperti meningkatkan rizab negeri serta melaksanakan inisiatif kebajikan.
Di Kiulu, katanya, pembangunan luar bandar terus digerakkan melalui pelan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk menaik taraf jalan pertanian untuk memudahkan akses ke ladang dan kampung.
“Kita akui masih banyak yang perlu dilakukan, termasuk cabaran bekalan air, elektrik dan infrastruktur. Namun, kita bertanggungjawab sepenuhnya dan komited untuk terus maju,” katanya sambil menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan yang terbukti membawa hasil.