MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai lemas di kolam renang sebuah homestay di sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.46 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki telah dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” kata Penolong Penguasa Bomba Kanan I, Mohd Khairul Azhar Abd Aziz dalam kenyataan media.
Pasukan bomba segera menjalankan prosedur bantuan pernafasan (CPR) ke atas mangsa sebelum kanak-kanak tersebut dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Saksi kejadian, Fatin Aainna Zahed, memaklumkan suasana di lokasi kejadian bertukar cemas apabila ibu mangsa dilihat berlari sambil meraung sebaik melihat anaknya tidak sedarkan diri dengan tubuh kebiruan di tepi kolam.
“Orang ramai sudah cuba berikan bantuan pernafasan tetapi tiada reaksi. Ibunya hanya mampu menangis dan meraung apabila melihat keadaan anaknya,” katanya.
Difahamkan, keluarga mangsa bercuti di homestay berkenaan sempena cuti hujung minggu.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
JBPM mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, agar sentiasa berwaspada dan memastikan pengawasan rapi ke atas anak-anak ketika berada berhampiran kawasan kolam renang.