SEMBULAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tanjung Aru hari ini telah melaksanakan program agihan bakul makanan kepada 10 keluarga yang memerlukan di Kampung Sembulan Tengah sebagai usaha membantu penduduk setempat.
Ahli Jawatankuasa PGRS Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng berkata, program ini dilaksanakan selepas pihaknya menerima panggilan daripada penduduk mengenai keperluan keluarga-keluarga di kawasan tersebut.
“Sebagai Ahli Jawatankuasa PGRS Tanjung Aru, saya terpanggil untuk turun bersama pasukan sukarelawan bagi menghantar bakul makanan pada hari ini,” katanya.
Turut hadir dalam agihan ini ialah Ketua Kampung Sembulan Tengah, Puan Jamaiyah Ahmad yang bersama-sama menyantuni setiap ketua keluarga penerima bantuan di lokasi.
Dalam program tersebut, penduduk Kampung Sembulan turut memohon sumbangan ikhlas daripada Dr Ritchie untuk membantu membaiki satu seksyen jambatan rosak.
Dr Ritchie mengalu-alukan usaha gotong-royong bersama penduduk kampung bagi melaksanakan baik pulih jambatan yang rosak tadi yang menghubungkan komuniti sembulan tersebut dalam masa terdekat.
Menurut Dr Ritchie, program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PGRS Tanjung Aru untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan ini.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga-keluarga sini, dan yang paling penting keluarga Sembulan sentiasa diingati,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan PGRS Tanjung Aru yang membantu melancarkan proses pengagihan bakul makanan tersebut dengan baik.
PGRS Tanjung Aru akan terus berusaha membantu kebajikan penduduk di kawasan Sembulan dan Tanjung Aru agar kehidupan terus terjaga dan mendapat perhatian.